Kamis, 05 Juni 2014

Tausiyah Islam Pernak-Pernik Islam (Edisi 5 Juni 2014)


Sayyid Jamal al-Din al-Afghani (1838-1897) & Kepimpinan Dunia Islam

oleh ABDUL SALAM MUHAMMAD SHUKRI
KELEMAHAN dunia Islam memerlukan kepada kepimpinan yang utuh dan berintegriti tinggi dalam usaha mengubah umat menjadi umat yang kuat, bersatu dan kreatif. Sayyid Jamal al-Din al-Afghani (1838-1897) merupakan pemimpin kepada kebangkitan Islam di zaman moden selepas kejatuhan umat Islam di tangan tentera Mongol dan penjajahan barat. Dunia Islam mengiktiraf sumbangan Jamal al-Din al-Afghani kepada kebangkitan Islam dan umatnya. Beliau merupakan seorang yang berpersonaliti komprehensif, pemikir agung, tokoh mujaddid dan pemimpin politik yang berwibawa (Amin Osman). Penulis barat seperti Nikki R. Keddie (2005) melihat Jamal al-Din al-Afghani sebagai tokoh ideologi yang terkenal dan aktivis politik di abab ke-19 yang masih kuat mempengaruhi dunia Islam. Beliau diterima umum sebagai tokoh Islam yang berjasa besar tanpa dibatasi sempadan negara, mazhab dan fahaman.

Artikel ini berkisar kepada sumbangan Jamal al-Din al-Afghani kepada dunia Islam secara umum dan secara khususnya tumpuan beliau dalam membentuk kepimpinan dunia Islam yang kuat dan mantap. Antara buah pemikirannya yang masih segar ialah perlunya kepada kesatuan umat Islam (al-wahdat al-Islamiyyah atau Pan-Islamisme) dalam menghadapi penjajahan Barat. Pendekatan beliau dalam berpolitik ialah mana-mana pemimpin Islam yang lemah atau bersekongkong dengan penjajah perlu disingkir dan digantikan dengan pemimpin yang kuat, berwibawa dan patriotik. Kesemuanya akan menjadi pengajaran kepada umat dalam menghadapi cabaran semasa.

Latar Belakang Hidup dan Perjuangan Jamal al-Din Al-Afghani
Kehidupan awal Jamal al-Din al-Afghani tidak begitu diketahui secara terperinci dan tepat. Ada yang mengatakan beliau lahir pada tahun 1838 di kampung bernama Asadabad, berdekatan dengan Hamadan, Iran (Keddie). Ada yang berpendapat beliau dilahirkan di As’ad Abad, berdekatan dengan Kabul, Afghanistan pada tahun 1839 (Adams 2010). Ayah beliau ialah Sayyid Safdar atau Saftar, seorang berketurunan sayyid dikatakan sampai kepada keturunan Rasulullah s.a.w melalui cucu baginda, Saidina Hussain bin Ali (626-680).
Menurut sumber Syiah, beliau mendapat pendidikan awal di rumah dan meneruskan pengajian di Qazvin, Tehran, Iran dan di Iraq terutamanya di kota suci Syiah (‘Atabat ‘Aliyat), iaitu Najaf, Karbala, Kazimayn dan Samarra. Di sekitar tahun 1856-57, perselisihan berlaku antara beliau yang masih muda berumur sekitar 18 tahun dengan ulama Syiah sehingga menyebabkan beliau meninggalkan ‘Atabat, meneruskan pengajiannya di India selama setahun lebih dalam ilmu-ilmu barat, metodologi dan bahasa inggeris. Seterusnya kembara ilmu diteruskan ke kota-kota Islam yang lain termasuk Mekah, Baghdad dan Istanbul. Menurut Charles Adams (2010), Jamal al-Din al-Afghani menguasai semua bidang ilmu Islam termasuk nahu Arab, saraf, balaghah, sejarah, teologi, tasawwuf, logik, falsafah, fizik, metafizik, matematik, astronomi, perubatan, anatomi dan sebagainya. Latar belakang pendidikan dan pengalamannya yang ada melayakkannya untuk menyumbang kepada dunia Islam.

Ini jelas apabila hampir sepuluh tahun, iaitu sekitar tahun 1865 beliau muncul di kampung kelahirannya, bertemu keluarga dan sanak saudara sebelum meneruskan perjalanan ke Tehran dan Aghanistan menerusi Khurasan dalam usaha membina kekuatan umat dan dunia Islam.
Beliau melihat kepentingan Afghanistan yang agak terpencil tetapi berpotensi dalam mengerakkan kekuatan dunia Islam. Di Afghanistan, beliau lebih dikenali sebagai Sayyid “Rumi” (Anatolian) atau “Estanboli”, iaitu orang Istanbul atas permintaan sendiri. Sebelum ini beliau sudah mendapat kepercayaan pemerintah (amir) Afghanistan dan pernah berkhidmat di bawah Amir Dost Muhammad Khan (1793-1863). Selepas kematian Dost Muhammad Khan, berlaku krisis politik sesama penggantinya, iaitu antara Sher Ali Khan (1825-1879) dan tiga adik beradiknya. Salah seorang dari mereka, iaitu Muhammad A’zam Khan melantik Jamal al-Din al-Afghani sebagai penasihatnya. Al-Afghani merancang dan menasihati A’zam Khan supaya berbaik-baik dengan Rusia di sebalik pihak Inggeris.

(Sumber : www.dakwah.com)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar