Konsep Bulatan Sempurna & Geometri Di Dalam Tawaf
oleh
Malim Ghozali PK
Setakat makalah ini ditulis,
ramai para jemaah bagi musim haji 1431 Hijrah sudahpun berangkat ke tanah suci
Makatul Mukaramah. Alhamdulillah, di negara ini pemergian seseorang bakal haji
untuk menunaikan rukun Islam yang kelima melalui tatacara yang teratur.
Menerusi kursus-kursus yang dikendalikan oleh Lembaga Tabung Haji, proses
pelaksanaan dan maklumat-maklumat berkaitan dengan rukun dan wajib haji
diperjelaskan. Kelicinan dari segi pengurusannya pula mendapat pujian dari
negara-negara di seluruh dunia.
Dalam hubungan yang sama Allah
telah menetapkan haji hanya dilakukan pada waktu-waktu yang tertentu sahaja,
lewat firman-Nya di Surah al-Baqarah, Ayat 197, yang bermaksud:
(Masa untuk mengerjakan ibadat)
haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang
telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu maka
tidaklah boleh menyetubuhi isteri dan tidak boleh berbuat maksiat dan tidak
boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji.
Beberapa bulan yang termaklum ini
bermula dari 1 haribulan Syawal hingga terbit fajar hari yang kesepuluh
Zulhijah. Inilah yang dinamakan bulan-bulan haji, tidak sah ihram haji jika
dilakukan di luar masa tersebut, bahkan jadilah ia ihram umrah.
Bererti haji mempunyai
landasan-landasan yang mesti dipatuhi. Begitu juga selain proses haji ini
kelihatan fizikal, ada perkara-perkara yang tersembunyi di sebalik proses tersebut.
Pada kesempatan ini penulis ingin menjurus kepada proses tawaf, serta
keterkaitannya dengan geometri.
Perkataan tawaf berasal daripada
bahasa Arab, yang membawa maksud mengelilingi bulatan yang tetap. Dari sudut fiqh,
tawaf bererti mengelilingi Kaabah diiringi syarat-syarat yang diwajibkan. Tawaf
merupakan salah satu daripada enam rukun haji. Seseorang yang hendak
menyempurnakan hajinya diwajibkan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali,
bermula di Hajar Aswad, atau Batu Hitam. Pada setiap masa, bahu kiri
dimestikan menghadap Kaabah. Ada empat kategori tawaf....


Tidak ada komentar:
Posting Komentar